Suri Rumah, Rosmawati Mohd Zain, 46 didenda RM9,000 atau penjara enam bulan di atas satu pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada laman sosial Facebook milikny di Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah yang bertindak memuat naik status jelik menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebooknya baru-baru ini menangis teresak-esak sambil memohon hukuman ke atasnya dikurangkan.

Tertuduh, Rosmawati Mohd. Zain, 46, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini memohon belas ihsan Hakim M.M Edwin Paramjothy sambil mengakui dirinya menyesal dengan sikapnya yang bertindak mengikut emosi.

Rosmawati yang tidak diwakili oleh peguam mengakui dirinya cukup tertekan dengan keadaan pandemik yang telah menjejaskan keluarganya sehingga mendorong dia sedemikian di Facebook miliknya.

“Saya sedih Yang Arif, saya menyesal. Saya tidak akan buat lagi. Saya ada empat orang anak dan anak kedua baru dapat tawaran masuk ke UiTM baru-baru ini.

“Suami saya sahaja yang bekerja dengan gaji bawah RM2,000. Keadaan dan situasi keluarga ketika pandemik menyebabkan saya begitu emosi dan menulis seperti itu. Tekanan kehidupan menyebabkan saya bertindak sedemikian.

“Saya meluahkan perasaan saya di Facebook dan saya tahu itu tindakan sungguh bodoh. Saya sangat menyesal Yang Arif. Saya mohon untuk didenda seminimum mungkin kerana tidak mampu bayar untuk kesalahan. Saya benar-benar menyesal dan bertindak bodoh,” kata wanita itu dalam tangisan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kes-kes memuat naik menghina Yang di-Pertuan Agong semakin berleluasa.

“Hari ini sahaja kita ada dua kes seperti ini, memuat naik status jelik. Yang di-Pertuan Agong adalah satu figura paling dihormati dalam sistem beraja berperlembagaan di negara ini.

“Sememangnya kita mempunyai kebebasan bersuara tetapi sekatan juga perlu. Dengan satu hukuman berbentuk pengajaran dapat memberi keinsafan kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama,” tegasnya.

Hakim Edwin Paramjothy kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM9,000 atau penjara enam bulan namun tertuduh mohon membayar jumlah tersebut.

Mengikut pertuduhan, Rosmawati didakwa secara sedar dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya menghina Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd. Zain’.

Hantaran itu dibuat pada 25 Mei 2021 pukul 7.06 malam yang kemudian dibaca pada 1 Jun 2021 pukul 1.06 petang di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)  Ibu Pejabat Polis  Bukit Aman di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast