Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah berjaya diberkas di hadapan sebuah hotel sekitar Jinjang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, salah seorang daripadanya mempunyai 32 rekod jenayah lampau bersabit dadah dan jenayah lain.

Seorang lagi suspek pula kenalan kepada salah seorang pengedar dadah yang cuba menyogok polis sebagai dorongan tidak menahan rakannya dalam satu kes dadah, katanya.

Pada mulanya pihaknya telah menahan dua lelaki berusia awal 30-an di sekitar kawasan Jinjang.

“Kedua-dua suspek itu ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang. Hasil pemeriksaan ke atas mereka polis berjaya menemui 10 paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 130.50 gram bernilai RM13,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, hasil ujian saringan mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Semakan lanjut juga mendapati suspek juga mempunyai 25 rekod lampau berkaitan jenayah dan tujuh rekod berkaitan dadah.

“Sementara rakannya tiada rekod lampau dan negatif dari sebarang pengambilan dadah manakala suspek ketiga dan juga terakhir ditahan hari yang sama jam 7.45 malam.

“Lelaki terbabit merupakan kenalan kepada salah seorang suspek yang ditahan dan cuba menawarkan wang tunai bernilai RM10,000 kepada anggota polis sebagai sogokan untuk membebaskan rakannya.

“Suspek telah diberi amaran supaya tidak meneruskan niatnya namun tidak diendahkan sebelum ditahan polis dan merampas wang tunai terbabit,” jelasnya.

Tangkapan dan barangan kes telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyeb 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahannya.- MalaysiaGazette