Sebanyak 150 kotak berisi telur awet dari China dirampas pihak Maqis Pulau Pinang pada Isnin lalu.

BUTTERWORTH –  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk telur awet dari China pada Isnin lalu.

Cubaan membawa masuk telur awet itu terbongkar selepas pihak Maqis melakukan pemeriksaan kontena di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini.

Pemeriksaan dalam kontena makanan membawa kepada penemuan telur awet tersebut.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada jam 4.30 petang membawa kepada penemuan sebanyak 150 kotak yang berisi 14,400 biji telur awet yang dianggarkan bernilai RM21,600.

Jelasnya, 150 kotak telur itu diletakkan di bahagian dalam iaitu hujung kontena yang diisytiharkan sebagai makanan runcit bagi menyukarkan pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan.

“Kesemua telur awet itu dirampas kerana tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan daripada Jabatan Maqis.

Telur awet yang dirampas pihak Maqis Pulau Pinang.

“Perbuatan mengimport telur awet tanpa mengemukakan dokumen permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

150 kotak berisi telur awet dari China dirampas susulan tidak mempunyai permit import yang sah.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette