Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau ketika di Pintu 1 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menerima surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

Menurut Muhyiddin, perkara itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong ketika dipanggil menghadap di Istana Negara jam 11 pagi tadi.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli- Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.

Terdahulu ketika memulakan perutusannya, Muhyiddin memohon maaf kerana dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, beliau terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, semalam beliau telah menerima warkah daripada Agong yang memaklumkan kepada terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada saya.

“Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara tersebut adalah:

Pertama, Perkara 43 (2) (a):

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”; dan

Kedua, Perkara 43 (4):

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.