Kenderaan yang dipercayai membawa menteri Kabinet beredar dari kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan khas di Bukit Damansara, .Foto HAFIZ SOHAIMI, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas berada kira-kira tiga jam di kediaman Perdana Menteri, beberapa kenderaan membawa menteri dan pemimpin parti dilihat mula meninggalkan rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini malam ini.

Selepas pukul 12 tengah malam, antara yang keluar meninggalkan Bukit Damansara adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat keluar lebih awal.

Difahamkan Ismail Sabri akan ke Hotel Pacific untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Selain itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Datuk Seri Faizal Azumu pula keluar dari kediaman yang sama pukul 12.23 tengah malam diikuti Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun masih belum masih berada kediaman Muhyiddin.

Pertemuan jemaah Kabinet di kediaman peribadi Muhyiddin mengambil hampir tiga jam.

Sementara itu, menurut sumber yang hadir di kediaman Muhyiddin, perbincangan menteri Kabinet dan pemimpin Bersatu berjalan lancar namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN:

AG, TPM, Presiden MIC hadir perjumpaan tergempar di rumah PM