Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sah akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) esok.

Media melaporkan bekas Menteri Belia itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.

Dalam satu kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa wakil rakyat itu di Mahkamah Johor Baharu pukul 8.30 pagi.

Sebelum ini, pada 21 Julai lepas, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen KL atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Mahkamah kemudian membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM300,000 bagi pertuduhan pertama dan pertuduhan kedua sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Syed Saddiq  juga diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali dalam sebulan.

Selain itu, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah larangan (gag order) terhadap tertuduh seperti yang dipohon pihak pendakwaan selain tarikh sebutan semula kes pada 10 September akan datang.

Syed Saddiq juga secara konsisten mendakwa pertuduhan menyeleweng dana RM1.2 juta yang dikenakan ke atasnya merupakan satu muslihat lain untuk memaksanya menyokong Perikatan Nasional (PN).

Malah Syed Saddiq mendakwa beliau telah menerima ugutan sedemikian sejak lebih setahun lalu. -MalaysiaGazette