Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini PN hanya mempunyai 114 ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong pada 30 Julai 2021 bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biar pun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, selepas Majlis Tertinggi UMNO membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos lalu bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi.

“Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan surat akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” katanya.

Justeru, UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada bulan September ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Masih ada sokongan majoriti, peletakan jawatan saya tidak berbangkit – Muhyiddin