Baharin Din

KUALA LUMPUR – Sejumlah 85 peratus daripada hampir 35,000 pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung dan Sabah telah menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, usaha menyeluruh ini merupakan keutamaan TNB yang beroperasi di bawah kategori perkhidmatan perlu, khususnya memastikan bekalan elektrik kekal stabil di lokasi-lokasi strategik termasuk hospital, pusat kesihatan, pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin.

Dalam masa yang sama katanya, TNB melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin anggota kerjanya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Syarikat utiliti berkenaan juga jelas Baharin, berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan warga kerjanya yang bertugas di barisan hadapan untuk mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.

“Kempen dalaman ini telah berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja kami. Alhamdulillah, mereka mendaftar secara sukarela berikutan wujudnya kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan Covid-19 pada
diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan kami,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, selain kempen dalaman TNB juga menubuhkan sebuah badan bertindak khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja.

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang membantu pasukan bertindak ini mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB,” ujarnya lagi.

Selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pekerja TNB yang belum menerima suntikan vaksin katanya sehingga kini akan ditetapkan bekerja dari rumah (WFH).

Sementara itu Baharin mengucapkanterima kasih kepada Kerajaan-kerajaan Negeri dan pejabat kesihatan negeri-negeri yang memberi kerjasama dan memudahkan barisan hadapan TNB di negeri-negeri mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.-MalaysiaGazette