Pesakit Covid-19 terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,893 kes kes sembuh Covid-19 direkodkan pada hari ini berbanding 12,704 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 976,626 kes.

Dalam pada itu tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 164 kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa berjumlah 10,019 kes.

Manakala pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 1,078 kes dan 549 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, ujarnya.

Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 33 kluster baharu dikenal pasti hari ini dan daripada jumlah itu sebanyak 18 kluster melibatkan tempat kerja, 12 kluster membabitkan komuniti, dua pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

“Tujuh kluster tempat kerja di Selangor, empat di Johor, tiga di Melaka dua di Kelantan manakala satu masing-masing di Pulau Pinang dan Putrajaya.

“Enam kluster komuniti di Kelantan, empat di Sarawak, satu masing-masing di Kedah dan Negeri Sembilan.

“Kluster pusat tahanan pula di Kedah dan Perak manakala kluster kumpulan berisikp tinggi satu di Melaka,” katanya.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham sebanyak 20,596 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada hari ini, yang mana 34 kes merupakan kes import. – MalaysiaGazette