Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Rakyat dinasihatkan supaya tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai sokongan majoriti Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Pasuka Dr. Ibrahim Ali, Muhyiddin mendakwa beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dengan alasan hanya lapan sahaja dari UMNO yang menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Sekarang ini, katanya, rakyat perlu bersabar dan menunggu kenyataan rasmi Istana Negara sama ada benar atau tidak Perdana Menteri itu masih ada sokongan majoriti.

“Apakah pihak istana turut perkenan usul percaya atau usul tidak percaya kepada Muhyiddin, kita tunggu dan lihat pada sidang Parlimen September ini.

“Namun, Putra berpendapat, kalau benar dakwaan Muhyiddin, yang beliau ada majoriti, kenapa perlu tunggu September, sepatutnya dibuat dalam bulan ini juga.

“Ini baru gentleman, telus dan ikhlas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau membuat andaian kemelut politik negara tidak akan reda walaupun pada persidangan Parlimen September ini.

Katanya, apabila tiba masanya, mungkin persidangan itu ditangguhkan lagi atau entah apa lagi akan berlaku dengan perancangan mereka.

“Adakah ketika itu ada cadangan mahu bubarkan Dewan Rakyat? Tetapi PRU15 belum boleh diadakan kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Ibrahim menyarankan rakyat bertenang dan tunggu kebijaksanaan serta taat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua dan payung negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pergerakan Wiranita Putra Malaysia membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, semalam.

Laporan dibuat di Balai Polis Ipoh oleh Ketuanya, Ros Hanita Mohd Basir selepas mendapati, bekas Ketua Wanita PKR itu biadab dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang dukacita terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN) kerana mengelirukan Dewan Rakyat dengan pembatalan Ordinan Darurat.

Beliau meminta polis menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas pemimpin itu yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas keluar dari PKR tahun lalu.

“Kenyataan Zuraida telah membelakangkan undang-undang dan tindakannya memudaratkan demokrasi berparlimen dengan jelas bercanggah serta mengelirukan Parlimen dan rakyat khususnya.

“Tindakan tidak berperlembagaan ini dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong, Institusi Raja Melayu dan kemuliaan Parlimen.

“Ahli Kabinet dan Ahli Parlimen tidak ada kekebalan menghina atau mempermainkan nama baik Yan di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu walau dalam apa jua keadaan pun,” katanya. – MalaysiaGazette