Shahaniza Shamsuddin

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Maran kecewa dan dukacita dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang membuat pengumuman terbuka menyokong penuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua UMNOnya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Maran itu secara jelas membelakang dan bercanggah dengan kehendak dan keputusan parti.

“UMNO Bahagian Maran ingin membuat penegasan bahawa aspirasi parti dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanahair, selain mempertahankan kemuliaan Institusi Raja Berpelembagaan mestilah menjadi asas pedoman dan panduan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Maran mengambil pendirian bersama kepimpinan di setiap peringkat bahagian dan cawangan UMNO Maran bahawa ketetapan yang telah dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dan keputusan parti harus dihormati oleh setiap pemimpin UMNO dalam membawa hala tuju parti. – MalaysiaGazette