Logo Lembaga Minyak Sawit Malaysia

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama SME Corp Malaysia akan menganjurkan webinar pada 5 Ogos 2021 yang akan membicarakan Peluang Pengkomersialan Teknologi MPOB dan Dana Bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sesi webinar akan menampilkan ahli panel terdiri Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir yang akan berkongsi peluang pengkomersialan teknologi MPOB kepada usahawan PKS dan penggiat industri sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy pula akan membincangkan penyediaan dana bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan PKS bagi pengkomersialan teknologi dalam industri sawit.

Sehingga tahun 2021, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri dan usahawan tempatan.

MPOB menyedia peluang pengkomersialan teknologi meliputi khidmat kepakaran dan rundingan serta fasiliti penyelidikan. Pengkomersialan teknologi MPOB dalam industri sawit mewujudkan situasi menang-menang bagi kemajuan industri sawit negara.

Program secara maya anjuran MPOB dan SME Corp. Malaysia adalah sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor PKS khususnya melalui penglibatan dalam meneroka peluang perniagaan dalam industri sawit yang merupakan antara sektor utama ekonomi negara.

Pihak yang berminat boleh mendaftar secara percuma dengan menghubungi Unit Pelaksanaan Korporat & Perundingan MPOB, 03-8769 4574  atau sertai secara langsung melalui Facebook MPOB dan SME Corp. pada 5 Ogos 2021 (Khamis) pukul 3 petang. – MalaysiaGazette