Lokaliti yang akan diletakkan dalam pelaksanaan PKPD akan dipasang kawat berduri oleh anggota tentera.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 lokaliti di Temerloh, Pahang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 24 Julai lalu akan ditamatkan bermula esok.

Lokaliti itu ialah Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts, seluruh Kampung Padang Lalang, Taman Perumahan Sri Kemuning dan Flat Sri Kemuning.

Turut ditamatkan ialah Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh Felda Lakum, Kampung Paya Keladan dan Taman Keladan Indah.

Hishammuddin Tun Hussein

Menurut Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, penamatan pelaksanaan PKPD itu berikutan trend penurunan kes positif Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain lokaliti di Pahang, turut ditamatkan mulai esok ialah Kampung Dewan Besar, Labok, Machang di Kelantan; Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis di Tuaran, Sabah.

Katanya, Kampung Lumatai Ulu, Beaufort; dan Kampung Banting, Kampung Kawang serta Kampung Ulu Bole di Sipitang, Sabah juga ditamatkan.

Sementara itu, KKM merekodkan trend peningkatan kes positif di enam lokaliti di Sabah, Kelantan, Kedah dan Pahang.

Di Kelantan melibatkan Kampung Morak dalam Mukim Kebakat; Taman Nilam (Zon Biru) Mukim Kuah di Langkawi, Kedah dan Felda Sungai Koyan 1 dan 2 di Lipis, Pahang.

Berikutan itu, lokaliti berkenaan termasuk Perumahan Kilang Sawit Veetar di Tongod, Sabah; dan Kampung baru Pasir Putih serta Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik di Tawau, Sabah akan diletakkan dalam pelaksanaan PKPD mulai 7 hingga 20 Ogos ini.

Kata Hishammuddin, SOP bagi semua lokaliti PKPD itu sama seperti diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan lima lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD antara 16 Ogos dan 20 Ogos ini.

Lokaliti yang tamat 16 Ogos ini ialah Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam di Mukim Sura, Dungun, Terengganu.

Manakala Kompleks Penjara Bentong termasuk kuartersnya di Bentong, Pahang dan Kampung Joh serta Kampung Maka di Machang, Kelantan dilanjutkan sehingga 20 Ogos ini. – MalaysiaGazette