KUALA LUMPUR – Meskipun semua negeri merekodkan pertumbuhan negatif tahun lalu impak daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara, sebanyak lapan negeri mencatatkan magnitud pertumbuhan yang lebih baik berbanding penguncupan 5.6 peratus yang direkodkan di peringkat nasional.

Labuan menyusut 0.5 peratus, diikuti Kelantan (-1.1%), Kedah (-1.7%), Pulau Pinang (-2.1%), Perak (-2.3%), Negeri Sembilan (-3.6%), Johor (-4.6%) dan Selangor (-5.3%).

Sementara itu, enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah kekal sebagai peneraju utama KDNK nasional dengan jumlah sumbangan sebanyak 72.1 peratus (2019: 72.3%).

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, selaras dengan penguncupan ekonomi negara dan aktiviti perdagangan di seluruh dunia, jumlah dagangan Malaysia pada tahun 2020 menyusut 3.6 peratus kepada RM1.78 trilion berbanding RM1.84 trilion pada tahun 2019.

Eksport barangan menurun 1.4 peratus dipengaruhi oleh prestasi lebih rendah yang dicatatkan di Sarawak (-19.0%), Selangor (-5.7%), Johor (-2.6%), Sabah (-14.8%), Kuala Lumpur (-9.8%), Terengganu (-16.7%) dan Negeri Sembilan (-10.7%).

Walau bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi Pulau Pinang dengan pertumbuhan 10.0 peratus, diikuti Pahang (13.5%), Perak (6.9%), Melaka (1.7%) dan Kelantan (1.7%).

Antara produk yang mendorong kepada kenaikan eksport tersebut adalah litar elektronik bersepadu di Pulau Pinang, besi dan keluli (Pahang), sarung tangan getah (Perak & Kelantan) dan elektrik & elektronik lain (Melaka).

Menurutnya, Malaysia mencatatkan kadar inflasi pada paras negatif 1.2 peratus pada tahun 2020.

Antara kumpulan utama yang mengalami penurunan harga yang ketara adalah pengangkutan (-10.0%), diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-1.7%) dan pakaian & kasut (-0.8%).

Secara umumnya, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara negatif 0.6 peratus hingga negatif 1.9 peratus pada tahun 2020.

Melaka mencatatkan penyusutan 1.9 peratus diikuti Sabah & Labuan (-1.9%), Kedah & Perlis (-1.8%) dan Sarawak (-1.8%).

Sementara itu, penurunan sederhana dicatatkan oleh Selangor & Putrajaya (-0.6%) diikuti oleh Kuala Lumpur (-0.6%), Pulau Pinang (-0.8%) dan Pahang (-1.2%).

Dari aspek pasaran buruh, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) di peringkat nasional turun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus (2019: 68.7%).

Walau bagaimanapun, di peringkat negeri, Labuan, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah merekodkan peningkatan dalam KPTB pada tahun 2020.

KPTB tertinggi dicatatkan di Selangor dengan 75.4 peratus, diikuti Putrajaya (72.5%), Kuala Lumpur (72.1%) dan Johor (70.4%) manakala KPTB terendah pula direkodkan di Kelantan dengan 57.9 peratus.

Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada tahun 2020, iaitu kadar tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.

Semua negeri merekodkan peningkatan dalam kadar pengangguran yang mana Sabah (8.0%), Labuan (7.2%) dan Perak (4.8%) merekodkan kadar melebihi paras nasional (4.5%).

Sebaliknya, kadar pengangguran yang rendah antaranya dicatatkan di Putrajaya (1.5%), Melaka (2.2%) dan Pahang (3.1%).

Mohd Uzir berkata, langkah-langkah pembendungan penularan turut memberi implikasi kepada penerimaan gaji dan upah apabila purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja warganegara di Malaysia merekodkan kejatuhan 9.0 peratus daripada RM3,224 kepada RM2,933, dicerminkan oleh penurunan yang dicatatkan oleh semua negeri pada tahun 2020.

Johor mencatatkan penyusutan 13.0 peratus, Terengganu (-12.4%), Kuala Lumpur (-12.3%), Labuan (-11.5%), Sarawak (-11.0%) dan Selangor (-10.6%).

Bagaimanapun, daripada perspektif nilai, purata gaji dan upah bulanan di Putrajaya merupakan yang tertinggi dengan RM4,497.

Selain itu, antara negeri yang melepasi paras purata gaji dan upah nasional (RM2,933) adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).

Selanjutnya, sekatan perjalanan merentas negeri dan daerah telah menjejaskan industri pelancongan domestik dalam negara.

Perbelanjaan pelancongan domestik di Malaysia pada tahun 2020 merosot 60.8 peratus dengan nilai RM40.4 bilion (2019: RM103.2 bilion).

Ketibaan pelawat domestik turut merekodkan penurunan 44.9 peratus iaitu kepada 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada tahun 2019.

Antara negeri yang merekodkan kemerosotan bilangan pelawat domestik adalah Sabah (-53.1%), Sarawak (-52.5%), Johor (-49.3%), Melaka (-48.0%) dan Terengganu (-47.6%). – MalaysiaGazette