sindiket menyamar sebagai ejen tuntutan insurans tak wujud dan menipu mangsa sehingga mengakibatkan kerugian setengah juta akhirnya terkubur.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang menyamar sebagai ejen insuran tumpas dengan tertangkapnya empat individu dalam serbuan yang dilakukan polis di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, di sini,  semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata , pihaknya telah menerima satu laporan polis berkenaan kes penipuan panggilan dari pihak insurans yang menyatakan pengadu telah membuat tuntutan palsu bernilai RM78,800.

“Pengadu juga dikatakan terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram sebelum diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun yang diberikan sindiket ‘ejen insurans’ itu bagi membersihkan perkara ini.

“Pengadu (mangsa) bagaimanapun berjaya menyedari dirinya cuba ditipu sebelum bergegas ke balai polis berhampiran dan telah membuat satu laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak ke atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur telah membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama.

Menurut Mahidisham, hasil serbuan itu polis telah menangkap empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur 26 sehingga 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas 25 buah telefon bimbit dan tiga buah komputer riba yang disyaki digunakan sindiket itu untuk memerangkap dan menipu mangsa.

“Hasil siasatan awal juga mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama tiga bulan bulan yang lalu menggunakan panggilan tuntutan palsu insurans semata-mata untuk menipu mangsa.

“Tangkapan ini dapat menyelesaikan lima kes melibatkan kerugian penipuan tuntutan insurans palsu berjumlah RM 595,122.78 yang sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di beberapa kontinjen,” ujar beliau sambil menambah polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan (Cubaan Tipu).

Mahidisham berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette