ACP Zainal Mohamed Mohamed menunjukkan antara kenderaan curi yang dirampas dari sindiket Geng Epul BBS yang sedang diburu polis untuk membantu siasatan kes.

GOMBAK – Seorang individu yang disyaki ahli Geng Epul BBS yang bergiat aktif terlibat kegiatan jenayah mencuri kenderaan di Rawang berjaya dicekup polis.

Namun, dalang utama yang disyaki mengetuai geng tersebut serta beberapa ahli kumpulan itu kini sedang diburu polis bagi membantu kes.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, kesemua suspek geng curi kenderaan yang diburu itu berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Katanya, sindiket Geng Epul BBS aktif melakukan kegiatan mencuri kenderaan sejak awal tahun ini dengan menyasarkan kenderaan buatan tempatan.

“Susulan laporan curi motosikal Honda EX5 yang diterima polis di Rawang Mutiara dekat sini Rabu lepas, polis telah melakukan pengintipan dan mengekori dua suspek geng tersebut, dan kedua-dua suspek itu didapati sedang cuba melarikan sebuah motosikal.

Antara motosikal dan komponen yang dirampas polis Gombak dari geng Epul BBS yang aktif curi kenderaan di Rawang yang sedang diburu polis.

“Seorang daripada mereka didapati sedang mengumpil sebuah motosikal jenis yang sama di Rawang Mutiara,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Rawang hari ini.

Tambah beliau, polis segera melakukan serbuan dan berjaya menahan seorang suspek berumur 22 tahun namun seorang lagi suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Ujar Zainal, hasil soal siasat terhadap suspek itu polis berjaya merampas 13 motosikal Honda pelbagai jenis serta tiga kereta jenis Proton Iswara yang dianggar bernilai RM50,000 hingga RM60,000.

“Suspek berkenaan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau dan berjaya direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Manakala identiti suspek yang melarikan diri itu sudah dikenalpasti sebagai Mohd Pakhururuzi Mohd Nor @Ajis, 35, beralamat terakhir di No 504 Kampung Gertak Sagu Kemumin, Kota Bharu, Kelantan sedang dikesan untuk membantu kes.

“Justeru polis juga sedang memburu dalang utama serta saki-baki ahli kumpulan Epul BBS itu yang masih bebas di luar,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast