Menteri Besar Johor, Datuk Hasni beramah-mesra dengan salah seorang penerima vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad di Johor Bahru baru-baru ini.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar Johor hanya akan ditentukan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 12 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sidang DUN merupakan saluran paling tepat untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.

“Perkara itu semua kita akan bangkitkan dalam sidang DUN dan saya sendiri akan buat pendirian terhadap perkara yang berbangkit.

“Demi kestabilan kerajaan negeri, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan hadir dalam persidangan DUN Johor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir.

“Kerjasama wakil rakyat atau ADUN adalah rakan strategik dalam membangunkan negeri Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital KPJ Abdul Samad di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Hasni mengulas kenyataan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada Khamis lalu yang mendesak UMNO Johor menyatakan pendirian terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Menurut Dr Sahruddin, sehingga kini, pihaknya masih menanti kenyataan daripada UMNO Johor susulan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pihaknya menjunjung tinggi demokrasi di Johor dan undang-undang tubuh di negeri itu yang menjadi asas kepada sebarang keputusan yang akan dibuat.

“Perkembangan semasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen seperti mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Di Johor, kalau ahli Parlimen yang sudah diberi mandat buat keputusan, saya tidak mahu sentuh pendirian ahli Parlimen. Namun sebagai ketua kerajaan negeri saya rasakan perkara yang dibangkitkan ini boleh dibincangkan di DUN bila kita bersidang untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan PN Johor pimpinannya ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) pula sebanyak 27 kerusi.

Jika seorang ADUN menarik sokongan daripada PN akan menjadikan kerusi DUN PN dan PH masing-masing 28 kerusi sekali gus DUN Johor akan tergantung atau dibubarkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast