Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan di pejabat pentadbiran penghulu mukim Sungai Raya, Bukit Pasir, Muar.

MUAR – Individu atau keluarga yang terjejas dan tercicir daripada menerima bantuan makanan diminta memaklumkan perkara berkenaan kepada pemimpin setempat.

Ia bagi memudahkan bantuan bakul prihatin dapat terus disampaikan kepada mereka dengan kadar segera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan tidak ada rakyat atau keluarga yang kelaparan kerana tidak mempunyai makanan di rumah.

Food on the table, jadi sebab itulah kita mewujudkan program ini dan sudah dilaksanakan lama dan akan terus dilaksanakan sehingga keadaan bertambah baik dan rakyat boleh keluar untuk bekerja dan dapat pendapatan kemudian kembali seperti asal.

“Di samping bantuan dalam bakul prihatin ini bantuan nasional yang dilaksanakan sejak beberapa minggu yang lepas, saya nak nyatakan di sini bahawa kita memberi bantuan tidak mengira sesiapa tanpa kaum agama dan fahaman politik,” katanya dalam sidang di pejabat pentadbiran penghulu mukim Sungai Raya, Bukit Pasir di sini.

Muhyiddin berkata, kerajaan Pakatan Nasional (PN) akan memastikan semua rakyat yang terkesan disebabkan pendemik Covid-19 diberikan bantuan termasuk sumbangan bakul perihatin

“Oleh sebab itu, bantuan disampaikan kepada semua dan yang tertinggal, mereka harus tampil ke depan untuk memberitahu pemimpin masyarakat masing-masing untuk memberitahu mereka perlukan bantuan bakul prihatin.

“InsyaAllah kita tidak akan abaikan permohonan mereka dan akan selesaikan segera mungkin.

“Ini perkara penting bagi memastikan rakyat tidak berlapar dan tidak berada dalam kesusahan,” katanya.

Pada Julai lalu, Muhyiddin meninjau penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Berkonsepkan pendekatan masyarakat secara menyeluruh, inisiatif Bakul Prihatin Negara itu membabitkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast