MUAR – Kerajaan akan membincangkan strategi menangani kes harian Covid-19 yang semakin meningkat sekarang melalui Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu kelak berkata, antara yang akan dibincangkan ialah mengenai keberkesanan langkah-langkah yang diambil sebelum ini terutama di kawasan Greater Klang Valley.
“Yang mana di Kuala Lumpur atau Wilayah Kuala Lumpur dan Selangor dan ada beberapa negeri lain yang kita lihat yang ada peningkatan, jadi kita akan teliti dan halusi kenapa perkara itu berlaku.
“Apakah langkah yang sedang diambil ini, adakah tidak cukup berkesan atau perlukah kita membuat proses membuat ujian saringan dan penjejakan kontak yang lebih banyak di samping itu apakah isu dalaman dalam KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Permasalahan yang akan diperhalusi termasuk isu kekurangan kakitangan atau masalah ubat-ubatan yang diperlukan, oksigen sebagai contoh yang perlu dibawa masuk ekoran tidak mencukupi bekalan dalam negara,” jelasnya.
Muhyiddin berkata demikian di dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan bekalan basah kepada penghulu-penghulu dan sumbangan bakul prihatin kepada keluarga kuarantin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, beliau telah memberi kelonggaran dan kuasa penuh kepada KKM khususnya jawatankuasa terlibat untuk melakukan apa yang perlu dilakukan dalam sesetengah perkara.
“Dalam soal tertentu mereka tidak perlu rujuk kepada saya dan mereka boleh melaksanakan sendiri walaupun melibatkan perbelanjaan kerana sebahagian besar kita telah memperuntukan di dalam bajet terutama KKM dan bajet masih boleh digunakan.
“Bagaimanapun, saya prihatin peningkatan ini. KKM telah menganalisa dan lihat pembentangan oleh ketua pengarahnya yang mana hampir sebahagian besar kes ini termasuk dalam kategori satu dan dua yang dikatakan tidak begitu teruk dan kategori ke tiga dan empat atau lima yang lebih teruk peratusannya adalah bawah satu atau dua peratus sahaja,” jelasnya.
Tegas beliau, kerajaan mengambil maklum mengenai peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini terutama di beberapa buah negeri.
Apa yang lebih utama adalah soal hospital di negara ini mampu untuk menyediakan rawatan seperti di Unit Rawatan Rapi termasuk tindakan segera yang akan diambil untuk menangani masalah yang timbul, katanya. – MalaysiaGazette