KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pemimpin UMNO yang dianggap membelakangkan keputusan presiden parti itu perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden perlu tegas dan mengarahkan Lembaga Disiplin memanggil kesemua pemimpin berkenaan.

“Seharusnya ahli-ahli Parlimen UMNO yang membuat keputusan selain daripada hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti itu diambil tindakan.

“Presiden perlu tegas dalam hal sebegini. Ini jelas menunjukkan ada masalah besar dalam UMNO jika presiden terus berdiam diri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, tidak wajar ada keputusan lain memandangkan ia sudah dijelaskan menerusi Persidangan Agung UMNO baru-baru ini dan juga mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

“Jika diimbas, keputusan itu adalah untuk tidak bersama Bersatu, DAP dan PKR.

“Apabila mereka muncul hari ini dan membuat ketetapan lain, ini harus dilihat semula dan parti perlu tegas,” katanya.

Tambah beliau lagi, biarpun mereka menggunakan nama ‘ahli Parlimen’ tetapi tidak bermakna boleh membuat keputusan selain yang telah diputuskan.

“Benar, mereka itu ahli Parlimen, tetapi mereka menang pada pilihan raya lalu atas kapasiti parti UMNO.

“Jadi, tidak wajar muncul perkara seumpama ini. Saya juga melihat, UMNO dalam keadaan tidak ‘tenang’ apabila presiden dilihat terlalu berlembut dengan ahli-ahlinya.

“Saya yakin, Ahmad Zahid tidak membuat keputusan secara sendirian tetapi telah bermesyuarat dan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu adalah keputusan bersama. Jadi, secara jelas, keputusan yang bercanggah boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Agil berpendapat, pemilihan UMNO tidak boleh ditangguh dan perlu diadakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Ini juga perkara yang harus dipandang serius dan dilakukan UMNO secepat mungkin.

“Kali ini UMNO perlu membenarkan setiap ahli yang bertanding untuk berkempen dan undian juga harus dibuat secara terbuka,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacub bersama 20 ahli Parlimen BN mengadakan sidang media menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Seramai 19 ahli Parlimen BN itu merupakan pemimpin UMNO yang kebanyakan daripada mereka memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Keputusan mereka itu bercanggah dengan parti apabila Ahmad Zahid baru-baru ini membuat kenyataan UMNO menarik sokongan terhadap PN dan juga Muhyiddin.

Beberapa pemimpin UMNO telah melepaskan jawatan dimulakan dengan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan terkini, Datuk Seri Dr Noraini Abdullah meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. jika BENAR UMNO YANG SUCI MURNI DAN P UNAH HARAPAN NAFSU BESAR BERHASRAT AMBIL ALIH KERAJAAN…BOLEHHHH JAMIN 100-200% HAPUSKAN DAN MUSNAHKAN COVID SEPENUHNYA SEPERTI PETIK JARI SEBELAH MATA BOLEH SELESAI SEGERA DALAM 100 HARI

    JANJI 100HARI MASA 22 BULAN PUN TERKENCING2..LEBIH JAHANAM DAN PUNAH NEGARA TAPI TUDING JARI KERJAAN GAGAL …

    ZAHID MINTA PM 8 LETAK JAWATAN….CABAR ZAHID JUGA LETAK JAWATAN PRESIDEN UMNO DAN MP BAGAN DATO….BARU ADIL DAN ANAK JANTAN….SELESAIKAN KES KAMU DI MAHKAMAH BARU KAMI SOKONG

Comments are closed.