Sembilan individu termasuk tiga wanita ditahan dalam pesta dadah dan seks di Taman Impian, Jitra di sini hari ini.

JITRA – Polis menahan sembilan warga tempatan termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang didakwa terlibat dalam parti liar dan dadah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah inap desa di Jalan Impian di sini awal pagi tadi.

Bertindak atas maklumat awam dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang diketuai Inspektor Muhammad Hafif Zailan dan Inspektor Esmahaslia Abu Bakar menyerbu kediaman dua tingkat itu pukul 3 pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, ketika serbuan kesemua suspek sedang berhibur dengan alunan muzik kuat dalam rumah tersebut bersama pasangan masing-masing.

Kesemua suspek termasuk remaja bawah umur didapati positif dadah.

Sumber berkata, seramai sembilan individu terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan berusia lingkungan 16 hingga 24 tahun ditahan dalam serbuan terbabit.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati rumah itu disewa selama dua hari oleh salah seorang mereka dengan kadar sewa RM400 sehari.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku sewa inap desa itu untuk dijadikan sebagai lokasi parti liar susulan pusat hiburan masih belum beroperasi selain mendakwa kawasan kediaman itu selamat daripada diserbu pihak berkuasa kerana dilengkapi pengawal keselamatan.

Kediaman dua tingkat dijadikan inap desa yang disewa suspek untuk pesta seks dan dadah.

“Siasatan lanjut mendapati mereka yang ditahan terdiri daripada pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM), pekerja kilang, nelayan dan penghantar barang manakala wanita semua merupakan pekerja kedai makan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah sumber, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamin.

“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, kesemua mereka juga dikompaun kerana melanggar peraturan PKP yang ditetapkan kerajaan,” ujar sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan serbuan dan tangkapan sembilan individu berkenaan.

Kamarulzaman.

“Saya harap pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka sebagai inap desa jangan mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya ambil tahu berhubung aktiviti penyewa bagi mengelakkan aktiviti tidak bermoral sebegini berlaku.

“Selain itu, suka saya ingatkan kepada orang ramai agar tidak terjebak dalam sebarang kegaiatan menyalahi undang-undang termasuk melanggar SOP PKP yang ditetapkan kerajaan.

“Tindakan segelintir individu sebegini yang mementingkan diri demi kepuasan berhibur menyebakan usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 menjadi sia-sia,”tegas Kamarulzaman. – MalaysiaGazette