Muhammad Sanusi (kanan) berbual dengan salah seorang penerima vaksin Covid-19 di PPV mega Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar pesakit Covid-19 tahap empat dan lima ke Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang sekiranya tiga hospital utama di negeri itu tidak mampu menampung jumlah pesakit kritikal.

Tiga hospital utama yang mempunyai ICU bagi pesakit Covid-19 ialah Hospital Sultan Abdul Halim di sini, Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar serta Hospital Kulim.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada keperluan pembinaan ICU Medan di Kedah ketika ini memandangkan pihak ATM memaklumkan bahawa wad hospital medan itu sedia menerima pesakit Covid-19 tahap empat dan lima dari negeri ini.

Muhammad Sanusi.

“Nak setup hospital medan di sini memang sukar, tambahan pula field ICU di Kepala Batas masih ada kekosongan serta mampu menampung pesakit tahap empat dan lima dari sini (Kedah).

“Sekiranya katil penuh bagi menampung pesakit bagi dua kategori itu, pihak hospital akan uruskan penggunaan field ICU di Kepala Batas.

“Buat masa ini, kapasiti katil di hospital termasuk ICU memang penuh, penggunaannya hampir 90 peratus tapi bagi menangani isu itu kita pindahkan pesakit biasa ke Hospital Yan dan Baling,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Amanjaya Sport Arena yang merupakan PPV mega pertama di Kedah.

PPV yang mula beroperasi hari ini akan memudahkan kira-kira 150,000 penduduk Daerah Kuala Muda menerima vaksin Covid-19.

Untuk rekod, terdapat empat PPV awam di daerah Kuala Muda manakala sebuah lagi PPV bagi Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, kontena jenazah di negeri itu mencukupi.

“Kita tempah kontena untuk menempat akan jenazah pesakit Covid-19 ikut keperluan dan dalam masa sama kita ada terima sumbangan  kontena daripada zakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita juga akan buat pengkebumian secara berpusat bagi daerah Kuala Muda kerana ada kawasan kubur yang sudah nak penuh, jadi kita pilih kawasan kubur yang masih luas untuk proses pengkebumian seperti mana diputuskan dalam mesyuarat exco Rabu lalu,” ujar Muhammad Sanusi. – MalaysiaGazette