KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga India bagi membantu siasatan berhubung kes seorang wanita ditemui mati di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang pengadu memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa pada pukul 7.06 pagi.

“Berdasarkan semakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian telah mengenal pasti suspek disyaki warga negara India dipercayai boleh membantu pihak polis dalam siasatan kes tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Baharudin, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu ASP Mohd Hamizi Abu Bakar di talian 0123920076 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette