Pemain Selangor FC, Brendan Seng Ling Gan (kiri) diasak pemain Penang FC, Rafael Vitor Santos De Freitas (kanan) pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan Selangor, Brendan Gan merakamkan penghargaan terhadap sokongan dan juga kata-kata semangat yang diterima selepas dia disahkan menghidap penyakit kanser testis.

Menerusi video yang dimuat naik di laman media sosial Instagram miliknya, Brendan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk peminat, pasukan serta komuniti Liga Malaysia di atas sokongan yang diberikan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada saya sejak akhir-akhir ini. Saya sangat tersentuh hati dan sokongan yang diberikan sangat bermakna bagi saya.
“Saya telah membaca semua mesej yang dihantar dan saya meminta maaf kerana tidak dapat membalas semua mesej yang dihantar kerana ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan.

“Terima kasih juga kepada keluarga dan rakan-rakan saya yang sentiasa ada bersama saya sepanjang minggu ini dan juga kepada komuniti bola sepak yang turut memberikan sokongan.

“Saya seorang yang kuat dan akan mengharungi cabaran ini. Saya akan kembali beraksi,” katanya.

Brendan merupakan salah seorang pemain yang telah mengalami beberapa siri kecederaan serius dan berjaya untuk bangkit semula sekali gus menjadi watak utama pasukan yang diwakilinya.

Pemain berusia 33 tahun itu berjaya bangkit daripada dua kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya.

Kali pertama Brendan mengalami kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika beliau menyarung jersi Kelantan sewaktu aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Brendan kemudiannya mengalami kecederaan sama pada aksi antarabangsa di Stadium Manahan, Solo yang menyaksikan Malaysia bertemu Indonesia pada 6 September 2016. – MalaysiaGazette