15 pemuda tempatan termasuk 4 remaja wanita ditahan kerana berparti liar di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7 Shah Alam awal pagi tadi.

SHAH ALAM – Sekumpulan 15 orang remaja termasuk empat pelajar sekolah dicekup polis ketika mengadakan parti liar di sebuah kondominium di sini.

Ketua Polis Daerah Shaj Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dijalankan selepas polis menerima aduan awam tentang aktiviti orang berkumpul dan berparti liar di kondominium tersebut.

Berikutan aduan itu, polis telah menyerbu kondominium mewah di Seksyen 7 Shah Alam jam 1.30 pagi tadi.

Operasi itu diketuai oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Insp. Mohamad Sabri Ayob bersama enam anggota.

Seramai 15 ditahan termasuk empat gadis yang berusia antara 16 hingga 20 tahun.

“Polis telah merampas satu peket berisi bahan tumbuhan disyaki dadah ganja (anggaran berat 2.30 gram) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penganjur parti liar berkenaan juga berjaya dicekup.

Suspek bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing yang mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, semakan lanjut dan soal siasat mendapati unit kondominium mewah itu telah disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 satu malam.

Baharudin berkata, kesemua suspek telah dijemput ke partiĀ  menerusi aplikasi Weechat.

“Semasa serbuan, semua suspek sedang duduk di atas lantai dan terdapat suspek yang berada dalam keadaan khayal disyaki bawah pengaruh dadah.

“Mereka juga agak keletihan selepas berparti sejak jam 9 malam yang dijangka tamat jam 4 pagi.

Katanya, semua mereka yang ditahan itu dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 kerana gagal mematuhi SOP di bawah Per. 16 APPPPB 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal.Seterusnya kata beliau, kesemua suspek telah dibawa telah ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah IPD Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Kesemua telah menjalani ujian saringan awal air kencing danĀ  seramai lapan lelaki positif dadah THC, Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.

Daripada 15 suspek itu, tiga orang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dadah manakala 12 suspek tidak mempunyai sebarang rekod.

Kesemua mereka telah dibenarkan direman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette