Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – ”Macam mana tiba-tiba boleh keluar dua surat berbeza daripada ROS tidak sampai sebulan?

”Apakah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai agensi kerajaan di bawah Menteri Dalam Negeri juga terperangkap dalam ‘Scheme of Thing’ orang politik?, soal Ketua Pemuda UMNO.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ROS tidak wajar dijadikan alat terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk membunuh seteru politiknya.

Beliau yang mengulas penolakan ROS terhadap permohonan UMNO untuk tangguh pemilihan parti melibatkan lebih 66 ribu cawangan dan 3.2 juta Ahli termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri seluruh Malaysia berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menangguhkan pemilihan dibuat setelah merujuk surat balas Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertarikh 10 Mei 2021 dan ditandatangani oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sendiri yang mengesyorkan agar Mesyuarat Perwakilan UMNO bagi tahun 2021 ditangguhkan demi kepentingan perlindungan kesihatan awam sehingga ke satu keadaan pandemik Covid-19 yang lebih terkawal dan selepas lebih 70% penduduk Malaysia telah diliputi dengan vaksin Covid-19.

Malah, surat balas Majlis Keselamatan Negara bertarikh 11 Jun 2021 yang mengesyorkan: “Mesyuarat Perwakilan UMNO bagi tahun 2021 dipohon supaya ditangguhkan demi perlindungan kesihatan awam dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tegas beliau, permohonan UMNO untuk menangguhkan Mesyuarat Perwakilan UMNO kepada ROS bertarikh 24 JUN 2021 telah dibalas melalui surat bertarikh 19 Julai 2021 dengan menyebut “Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) TIADA HALANGAN terhadap keputusan MKT UMNO bagi menangguhkan pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan dalam tempoh 18 BULAN bermula 30 Jun 2021 dan mendapati ia adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO”.

”Insya- Allah Peguam UMNO telahpun menjelaskan segala keputusan penangguhan dan permohonan kepada ROS yang dibuat masih mengikut prosedur.

Malah, Setiausaha Agung UMNO juga telah mengutuskan jawapan balas kepada ROA bagi menjernihkan kekeliruan.

Justeru, katanya, Ahli-Ahli UMNO jangan bimbang kerana usaha mengharamkan UMNO tahun lepas juga gagal setelah keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada parti ini.

“Kali ini insya-Allah, Peguam-Peguam UMNO punya hujah lebih kuat untuk mencabar ROS kerana keputusan penangguhan dibuat setelah merujuk kepada MKN, KKM dan ROS sendiri dan semua rekod didokumentasikan dengan sempurna, bahkan semua keputusan adalah mengikut prosedur dan Perlembagaan UMNO,” katanya sambil berdoa semoga dibukakan hati pemimpin-pemimpin UMNO agar tidak bersekongkol dengan Kerajaan PN yang bukan sahaja gagal menguruskan hal kebajikan rakyat di kala Pandemik tapi sanggup derhaka kepada Raja bahkan menyalah-gunakan agensi-agensi kerajaan demi mengekalkan kuasa. – MalaysiaGazette