Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempunyai kuasa mutlak untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan seperti yang dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, keputusan itu selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan parti itu.

“Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak RoS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.

“Pentafsiran yang diberikan oleh peguamcara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT.

“Oleh sebab itu, UMNO hanya perlu memaklumkan kepada RoS,” katanya ketika sidang media khas menjelaskan isu penangguhan pemilihan parti antara UMNO dengan RoS, hari ini.

RoS semalam memaklumkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Justeru itu, UMNO perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, isu yang dibangkitkan RoS pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 yang berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 tidak lagi berbangkit.

“Telah wujud satu harapan yang sah oleh pihak UMNO ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti. UMNO berharap dengan penjelasan ini, polemik antara UMNO dan RoS dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad turut memberikan kronologi tarikh-tarikh penting membabitkan surat antara UMNO dan RoS.

Katanya, MKT telah membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO melalui surat UMNO kepada pihak RoS bertarikh 24 Jun 2021.

Malah MKT katanya, telah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti.

“Keputusan MKT telah dibuat berdasarkan suara majoriti. 52 daripada 56 Ahli MKT telah bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan.

“Pada bulan Jun 2021, mesyuarat MKT secara bersemuka tidak dapat diadakan kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown akibat pandemik Covid-19,” ujar Ahmad lagi.

Jelasnya, pentafsiran yang diberikan oleh peguamcara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT.

Ahmad juga berkata disebabkan itu UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak ROS.

Beliau juga menambah, dengan kes Covid-19 yang tinggi di negara ini yang mencecah sekitar 20,000 kes sehari telah menambah kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta orang ahli UMNO dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara. -L MalaysiaGazette