Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan bantuan kewangan sejumlah RM1 juta kepada Pusat Sehenti Sementara, Hospital Kuala Lumpur (Pusara HKL) bagi menangani punca kelewatan pengurusan mayat.

Menteri KPN, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, peruntukan sebanyak RM500,000 diberikan kepada Unit Transformasi
Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat selain Islam kaum India dan bakinya, di bawah Bahagian Kampung Baru KPKT bagi pengurusan mayat selain Islam kaum Cina.

Bantuan kewangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan waris B40.

Beliau berkata, masalah keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat khususnya dari kalangan B40 dan kekurangan sumber manusia untuk menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris menyebabkan timbul isu pengurusan mayat warga tempatan selain Islam di Pusara HKL.

KPN turut menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO) melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak Pusara HKL.

Halimah berharap melalui insiatif ini akan dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat. – MalaysiaGazette