Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor (kiri) dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, YM Tengku Haphiz Tengku Putera menunjukkan laporan polis pada sidang media khas Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendesak polis menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat kepada beliau di Bangunan Umno, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO untuk menarik balik sokongan daripada Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara bersendirian.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera sebaliknya berkata, ia merupakan keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi mewakili 3.3 juta akar umbi parti itu.

“Keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO ini adalah bukan keputusan Presiden.

“Media sebelum ini melaporkan seolah-olah ia adalah keputusan Presiden UMNO berseorangan.

“Kita kena ingat Perhimpunan Agung UMNO lepas kita sudah putuskan untuk menarik sokongan daripada PN.

“Semasa perbahasan disebut dengan jelas bahawa 1 Ogos 2021 adalah tarikh yang dipersetujui oleh perwakilan dan juga akar umbi UMNO.

“Saya fikir ini satu cerita agak tidak betul dan perlu diperbetulkan semula,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Selasa lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa mesyuarat MKT UMNO sebulat suara menarik sokongan daripada Kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan terbaharu perdana menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Tengku Haphiz masih meletakkan harapan bahawa semua Menteri, Timbalan Menteri dan ahli Parlimen UMNO akan kembali mengikuti arahan dan pendirian parti itu.

“Ini adalah keputusan MKT UMNO dan juga akar umbi.

“Sebab itu kami fikir selagi menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO itu bergelar ahli UMNO, maka mereka akan tetap untuk mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor pula berharap ahli-ahli Parlimen UMNO dapat memberikan surat jawapan ketaatan kepada parti, selewat-lewatnya hari ini

“Kita yakin akan ada lagi (ahli Parlimen UMNO) bahkan menteri-menteri UMNO sendiri akan bersama dengan keputusan dengan MKT UMNO yang mewakili suara akar umbi menarik sokongan daripada Perdana Menteri.

“Bahkan Ahli Parlimen UMNO yang hadir dalam sidang media di DBKL semalam pun kita yakin akan bersama dengan kita.

“Saya yakin terhadap semua Ahli Parlimen kita untuk kembali (bertindak) merujuk kepada parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette