Tangkap layar menunjukkan aksi seorang lelaki mempamerkan pistol tiruan ketika berkumpul bersama rakannya di hadapan sebuah rumah di Ipoh, Perak pada 5 Ogos lalu.

IPOH –  Padah memiliki pistol tiruan, tiga lelaki ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Jalan Kampung Paloh di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan ke atas suspek berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu dibuat selepas video aksi salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol di hadapan sebuah rumah di sini, tular.

Mior Faridalathrash.

Jelas beliau, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki dilakukan pada jam 2.30 petang selepas pihaknya mengesan rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ketika tangkapan dibuat kedua-dua suspek itu sedang berkeliaran menaiki motosikal dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sepucuk pistol tiruan menyerupai senjata api jenis pistol semi-automatik.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek yang juga rakan mereka pada jam 7 malam bagi membantu siasatan susulan perbuatan mereka tiga telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat berkaitan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Mior Faridalathrash, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku membeli pistol tiruan tersebut serta berkumpul di hadapan sebuah rumah pada 5 Ogos sambil meminum minuman keras.

Tangkap layar menunjukkan ketiga-tiga suspek berkumpul meminum minuman keras di hadapan sebuah rumah pada 5 Ogos lalu.

Kata beliau, ketika berkumpul, salah seorang daripada tiga lelaki tersebut telah mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dan dirakam oleh rakan yang lain sebelum ditularkan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam, dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” ujar beliau.

Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan tiga lelaki sedang berkumpul di hadapan sebuah rumah sambil meminum minuman keras.

Menerusi rakaman berdurasi 13 saat itu, kelihatan seorang lelaki bertatu tanpa memakai baju memegang senjata menyerupai pistol. – MalaysiaGazette