Seramai 255 individu dikenakan kompaun ekoran ingkar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 255 individu dikenakan kompaun ekoran ingkar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 21 individu lagi direman kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, sebanyak 25 premis diarah tutup serta-merta kerana gagal mematuhi SOP.

“Semalam, Pasukan Task Force Pematuhan dengan kekuatan 18,510 anggota yang melaksanakan 84,688 pemeriksaan dan ‘snap check’ Covid-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

“Dalam operasi itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 1,419 kilang, 17,051 premis perniagaan, 415 tapak pembinaan dan 189 asrama penempatan pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, Hishamuddin berkata, Operasi Benteng semalam merampas tiga kenderaan darat dan seramai sembilan tangkapan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) dibuat.

Mengenai operasi pemeriksaan khas yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hishammuddin berkata, KPDNHEP melakukan 2,131 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP. – MalaysiaGazette