Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan jika ikhlas mahu membantu rakyat, permudahkanlah dan usah persulitkan.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, rakyat makin terdesak dan tertekan saban hari kerana simpanan sudah hampir licin, komitmen bulanan sudah mula tertunggak.

“Harapkan wang caruman KWSP sendiri melalui i-Citra RM10,000 secara one-off pun langsung tidak dilayani Kerajaan. Moratorium tetap dikenakan faedah terakru.

“Kononnya kantung negara amat berkurangan, sebabtulah tak dapat bantu penuhi segala #TuntutanRAKYAT untuk naikkan jumlah bantuan BPN, BKC,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurut Asyraf, ramai yang mengadu tak dapat BPR/BKC kali ini kerana kononnya alasan sudah dapat Geran Khas Prihatin.

“Nak merayu pun rakyat dipaksa melalui proses yang terlalu banyak birokrasi. Jika ikhlas nak bantu rakyat, permudahkanlah dan usah persulitkan. Rakyat makin terdesak dan tertekan saban hari kerana simpanan sudah hampir licin, komitmen bulanan sudah mula tertunggak,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan strategi menangani Covid-19 yang ternyata gagal, tiada jaminan ekonomi dan kebajikan rakyat mampu dipulihkan dalam tempoh terdekat.

“Janji untuk umum kelonggaran bagi yang sudah menerima dua dos pun rupanya macam dicapatikan. Apa lagi yang rakyat boleh harapkan daripada Kerajaan yang ternyata begitu jauh daripada memahami realiti denyut nadi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette