KUALA LUMPUR – Pakar kesihatan bersetuju penggunaan bilangan kes kemasukan baharu hospital yang bergejala sebagai satu daripada indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai langkah tepat.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar, setiap indikator yang digunakan dalam membuat penilaian risiko perlu bersifat dinamik, sensitif serta relevan.
“Ada dua perkara dalam hendak menentukan PPN, asas pertama adalah beban komuniti iaitu community infection atau community transmission manakala yang kedua adalah beban kepada fasiliti kesihatan, jadi indikator baharu ini lebih tepat, kalau nak harapkan kes harian macam community transmission itu banyak sangat perkara yang perlu dilihat.
“Tapi lihat pada bebanan kita boleh tahu, kalau kes (bergejala) banyak masuk hospital jadi kita tahu beban fasiliti kesihatan itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi satu kenyataan memaklumkan bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala digunakan sebagai satu daripada indikator peralihan fasa PPN.
Menurut Tengku Zafrul, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pakar, pengalaman antarabangsa dan domestik serta berdasarkan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
Mengulas lanjut ketetapan itu, Tengku Zafrul berkata, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala membabitkan Kategori 3,4 dan 5 berbanding sekiranya dirujuk jumlah kes baharu harian.
Dalam pada itu, Zainal Ariffin turut berpendapat nilai ambang bagi peralihan fasa PPN perlu mempunyai perbezaan bagi setiap negeri.
Beliau menjelaskan, situasi di Lembah Klang tidak sama dengan negeri lain berdasarkan jumlah penduduk.
“Kalau kita bandingkan kesiapsiagaan fasiliti seperti unit rawatan rapi (ICU) ini pun berbeza di antara negeri-negeri, mungkin ada setengah negeri yang sedikit dan ada yang mempunyai lebih.
“Sebab itu nilai ambang kena ada perbezaan antara negeri-negeri, sebagai contoh Lembah Klang tidak sama dengan negeri-negeri lain,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Malina Osman berkata, indikator baharu yang diumumkan itu adalah lebih tepat dalam menggambarkan situasi sebenar beban dalam perkhidmatan kesihatan.
“Dalam masa sama, gelembung keselamatan perlu diwujudkan bagi membantu mengurangkan penularan dan seterusnya menurunkan kes atau potensi kluster Covid-19.
“Kerajaan melalui agensi berkaitan perlu pastikan semua yang dibenarkan bekerja pada masa ini selamat dan sihat, mereka semua perlu divaksin.
“Sebaik-baiknya hanya mereka yang sudah divaksin dibenarkan untuk beroperasi kerana penggantungan kepada prosedur operasi standard semata-mata pada ketika ini sudah tidak boleh diharapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kes kemasukan baharu hospital dengan bergejala jadi indikator peralihan negeri Fasa 1
















