Seorang pembantu farmasi, Aimanafeesha Ahmad menunjukkan sekeping kertas yang tertera Kit Ujian Kendiri Covid-19 tidak dijual berikutan kehabisan stok sebagai makluman kepada pelanggan di Farmasi Health lane Family, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sejak pengumuman oleh kerajaan mengenai penjualan kit ujian kendiri Covid-19 yang diimport dan diedarkan di seluruh negara, ia laku seperti ‘goreng pisang’.

Malah dalam masa beberapa hari sahaja, hampir semua stok di farmasi telah habis dijual dan permintaan terhadapnya juga tinggi apabila sudah ada tempahan awam di merata-rata tempat.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati, hampir kesemua farmasi di Lembah Klang sudah kehabisan stok dan masih lagi menunggu stok baharu untuk tiba.

Permintaan yang tinggi kerana rata-rata masyarakat lebih rela melakukan ujian pandemik sendiri ke atas diri sendiri atau yang saduara terdekat di rumah masing-masing.

Mereka memilih untuk melakukan ujian sendirian daripada berpusu-pusu ke pusat-pusat kesihatan dan rawatan pada masa keadaan pandemik semakin meningkat sehingga mencecah angka lebih 20,000 sehari.

Menurut Ahli SP Pharmacy, Tibashini Vikneswaran, pada hari pertama pengumuman penjualan itu, pihaknya telah habis menjual kit ujian itu dalam beberapa jam sahaja.

Ahli farmasi, Tibashini Vikneswaran menunjukkan antara Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dijual di SP Farmasi, Rawang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

Menurutnya, kesedaran untuk melakukan ujian kendiri menyebabkan sambutan luar biasa terhadap kit ujian tersebut.

“Bila pengumuman dibuat, terus farmasi kami menjadi sasaran untuk kit ujian itu pada hari yang sama sahaja malah dalam beberapa jam sahaja kita sudah berjaya jual berpuluh-puluh kit.

“Baru-baru ini apabila kerajaan telah umum lima jenis kit yang dibenarkan dijual, empat daripadanya menggunakan kaedah air liur manakala satu lagi menggunakan persampelan melalui hidung.

“Tapi di farmasi kami hanya jual empat sahaja yang menggunakan kaedah air liur, kita elak persampelan hidung kerana takut juga jika tidak pandai nanti ada kecederaan komplikasi lain pula.

“Jenama Gmate antara yang paling popular dan mendapat sambutan cukup memberangsangkan sehingga kehabisan stok. Kita harap lepas ini bekalan yang diberikan lebih besar jumlahnya kerana sebelum ini ianya cukup terhad walhal permintaan tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kit Ujian Kendiri Covid-19 di SP Farmasi, Rawang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

Jelas Tibashini lagi, keberkesanan kit ujian itu adalah tepat sehingga lebih 90 peratus kerana telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan cara penggunaan mudah.

“Di setiap kotak disediakan QR Code untuk mengimbas video demo penggunaan kit ujian ini bagi individu yang baru pertama kali mencubanya,” ujarnya.

Manakala seorang pembantu farmasi di Promed Farmasi, Khairulnissa pula berkata, harga jualan mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM iaitu RM39.90 seunit.

Pembantu farmasi, Khairulnissa Mohd Ridzuan mengenai stok Kit Ujian Kendiri Covid-19 di Farmasi Promed, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

“Penjualan banyak dijual secara runcit di farmasi, secara atas talian pun rasanya ada cuma stok sungguh terhad sangat. Kita pun ambil langkah awal dengan ambil pre order memandangkan permintaan sungguh tinggi sangat.

“Permintaan ini juga sangat mendesak memandangkan ramai yang terdedah dan menjadi kontak rapat dan perlu tahu sama ada diri masing-masing telah dijangkiti virus ini. Selalunya kita ambil nombor telefon pelanggan, bila kit sampai kita terus maklumkan pada mereka.

“Jika anda pergi ke mana-mana farmasi sekali pun, memang sukar untuk jumpa kit ini kerana hampir semuanya sudah habis dijual,” ujarnya.

Manakala seorang lagi ahli farmasi yang mahu dikenali sebagai Aimanafeesha berkata, pihaknya memang sudah menjangka keadaan itu berlaku dan mengambil maklumat awal pelanggan berminat.

Pembantu Kesihatan, Aimanafeesha Ahmad mengenai stok Kit Ujian Kendiri Covid-19 di Farmasi Health lane Family, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

“Kita ambil nombor telefon pelanggan dan akan makluman sahaja apabila kit itu sampai kerana stok yang diberikan sungguh terhad sekali.

“Ramai juga yang beli sebagai persediaan seperti golongan yang bekerja dan perlu bersemuka dengan orang ramai, mungkin dia kena buat ujian seminggu sekali, jadi keperluan itu memang tinggi,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata individu yang menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 perlu melaporkan keputusan sama ada positif, negatif atau tidak sah melalui aplikasi MySejahtera. -MalaysiaGazette