KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin masih setia dengan UMNO namun mengakui ada masalah dengan presiden partinya sendiri.
“Saya masih lagi dalam kerajaan sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO,” katanya sebagai respon kali pertama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu mengenai polemik dalam partinya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Iskandar Malaysia Studios yang dicadangkan menjadi tapak pusat pemberian vaksin baharu di Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.
Menurut Khairy seperti laporan Bernama, masalahnya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi timbul selepas Presiden UMNO itu menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendakwa semua ahli Parlimen UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khairy berkata terdapat juga isu rakaman perbualan antara Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan Anwar yang pada mulanya dinafikan oleh Ahmad Zahid.
Justeru beliau berharap UMNO dapat menunggu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuktikan pada sidang Parlimen September ini.
Sementara itu, beliau menegaskan beliau mahu meneruskan tugasnya bagi memastikan sasaran negara ke arah mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai.
Khairy berkata, apa yang penting baginya ketika ini ialah menjalankan tugas yang diamanahkan untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.
“Biar saya buat kerja saya, vaksinasi ini soal nyawa rakyat Malaysia, selagi tidak ada undian, biarlah saya buat kerja. Bagi pihak UMNO, saya menteri UMNO, nanti selepas kita dah selesai undi, boleh kita buat keputusan apa tindakan seterusnya,” katanya.- MalaysiaGazette
















