KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) nyaris maut selepas kediaman dua tingkat yang dihuni mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Anggerik Malaxis, Kota Kemuning, Shah Alam awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.17 pagi sebelum dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Norazam, kejadian yang berlaku melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar kira-kira 50 peratus di bahagian bawah.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan menyelamatkan dua mangsa iaitu pasangan suami isteri berstatus OKU pekak dan bisu.
“Mangsa wanita berusia 31 tahun yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa terselamat kerana masuk ke bilik air bagi menyelamatkan diri semasa berlaku kebakaran. – MalaysiaGazette















