Kuala Lumpur – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada jam 5.13 pagi tadi.

Istana Negara menerusi laman Facebook memaklumkan baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bintang seni tanah air itu.

Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga ahli keluarga Allahyarhamah sabar dan tabah berhadapan dugaan kehilangan yang memilukan.

Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Beliau meninggalkan suami, Shuib Sepahtu atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, serta empat anak iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette