Datuk Seri Nancy Shukri. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan kebenaran rentas daerah dan negeri kepada individu yang lengkap menerima vaksinĀ  bagi tujuan pelancongan domestik.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kelonggaran itu akan membantu penggiat industri pelancongan khususnya di kawasan yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam masa yang sama, katanya, kelonggaran itu akan memberikan suntikan semangat khususnya kepada yang terlibat dalam merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya dalam negara.

“MOTAC melihat ia merupakan satu langkah awal yang dapat memberikan kelegaan buat pihak industri yang telah lama terjejas berikutan penutupan sektor tersebut sebelum ini.

“Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan PPN yang telah digariskan oleh MOTAC,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nancy juga yakin kerajaan akan sentiasa memikirkan cara yang terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan dalam negara.

Justeru beliau menyeru penggiat sektor berkenaan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“MOTAC menyeru kepada orang ramai yang akan memulakan aktiviti pelancongan di kawasan yang dibenarkan agar melanconglah dengan selamat,” tambahnya.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat Muhyiddin semalam, aktiviti pelancongan dalam negeri berada dalam Fasa 2 PPN adalah melibatkan inap desa dan hotel.

Kata Perdana Menteri, pengusaha inap desa dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19.-MalaysiaGazette