Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad tiba bagi memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada Isnin lalu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad disiasat di bawah dua akta, kata peguam kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu.

Menurut Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali, akta itu adalah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Utama Mukhriz telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, empat pegawai yang terdiri daripada Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman telah hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) bagi merakamkan keterangan kedua-dua pemimpin Pejuang itu.

“Kehadiran pegawai-pegawai polis tersebut adalah berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos 2021,” ujar mereka.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung isu sama.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran; Ahli Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.