Nallan Dhanabalan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengambil inisiatif membiayai sebahagian kos pengebumian 50 ahli keluarga masyarakat India yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Klang, Nallan Dhanabalan berkata, sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi menangani masalah kelewatan proses pengebumian berikutan kes kematian tinggi akibat wabak itu.

“PN Parlimen Klang dengan kerjasama Klang Indian Funeral Services memberi satu inisiatif percuma bagi membantu warga Klang yang kesukaran kewangan dalam menguruskan proses pengebumian ahli keluarga mereka.

“Kami mengambil langkah untuk membiayai sebahagian kos pengebumian 50 keluarga terkesan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terpaksa menanggung kos pengebumian tinggi ketika waktu pandemik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nallan berkata, usaha itu bagi menyantuni golongan rentan dan golongan B40 yang menerima impak terus pandemik pada hari ini dan ia berurusan bagi membantu rakyat terjejas.

“Kami komited untuk sedaya upaya mencari jalan penyelesaian demi kebajikan dan keselesaan warga Klang.

“Kami menzahirkan rasa dukacita di atas ujian yang menimpa keluarga mangsa.

“Kami juga mendoakan agar keluarga terlibat diberi ketabahan dan kecekalan dalam mengharungi kesulitan hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette