Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan kesemua 17 ahli Parlimen pembangkang telah selesai diambil keterangan hari ini.

Beliau mengesahkannya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu, seramai 15 ahli Parlimen terbabit telah selesai diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi membantu siasatan berhubung perarakan mereka ke Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Pada sesi pagi sembilan ahli Parlimen hadir untuk proses pengambilan keterangan oleh polis dan lima daripadanya bermula pukul 10.30 pagi manakala empat lagi bagi sesi kedua pukul 11 pagi.

Untuk sesi keterangan jam 10.30 pagi, lima ahli Parlimen pembangkang terlibat iaitu Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Kee, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Manakala untuk sesi kedua, empat ahli Parlimen tampil iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus diikuti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan akhirnya Ahli Parlimen Batu, P. Prapakaran.

Manakala di sebelah petang pula, empat lagi pemimpin pembangkang tampil ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Alor Star, Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Justeru dua lagi yang diambil keterangan adalah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan juga Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip juga pada hari ini.

Selain itu, dalam satu lagi perkembangan berasingan di Putrajaya, dua lagi pemimpin turut diambil keterangan berkaitan siasatan sama iaitu Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.- MalaysiaGazette