Polis D7 IPK Pulau Pinang melakukan serbuan parti sambutan hari lahir yang diadakan sekumpulan individu di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Perai di sini.

SEBERANG PERAI – Keseronokan 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam mengadakan parti sambutan hari lahir mengundang padah selepas polis menyerbu sebuah kondominium yang disewa mereka di Jalan Lestari di sini, lewat malam tadi.

Bertindak atas maklumat awam sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya dan Asisten Superintendan Mohd Fairuz Mostafa menyerbu tingkat 19 kondominium tersebut pada jam 11 malam.

Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita yang berusia 19 hingga 35 tahun itu dikatakan baru selesai acara memotong kek dan sedang leka berparti dengan bunyi alunan muzik kuat.

Pihak polis sedang soal siasat wanita warga Vietnam serta kekasihnya yang mengadakan sambutan hari lahir itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, hasil siasatan mendapati tiga wanita Vietnam itu merupakan pasangan kekasih kepada tiga lelaki yang berada di lokasi dan parti berkenaan dianjurkan untuk menyambut hari lahir salah seorang wanita tersebut.

Difahamkan, masing-masing mereka mengenali wanita Vietnam itu ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung sebaik dijadikan kekasih.

Jelas beliau, hasil soal siasat mendapati rumah itu didiami dua lelaki bersama tiga wanita tersebut dengan kadar bayaran sewa RM1,450 sebulan.

Pihak polis sedang memeriksa kad pengenalan dan pasport milik kesemua suspek.

“Siasatan lanjut, salah seorang daripada lapan lelaki itu mengaku menjemput kenalan lain untuk hadir ke rumah tersebut bagi menyambut hari lahir kekasihnya yang berusia 22 tahun.

“Rata-rata mereka yang ditahan itu menetap sekitar kawasan Seberang Perai dan ada yang bekerja sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tiga lelaki mengaku wanita Vietnam yang ditahan itu merupakan kekasih mereka.

Turut dirampas dalam serbuan itu, speaker, belon serta perhiasan sambutan hari lahir tersebut.

Tambah Rahimi, tiada sebarang dadah ditemui di rumah tersebut ketika serbuan namun, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.

Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada 11 suspek itu positif dadah.

“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanaun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Rahimi.

Mengulas lanjut, Rahimi menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

DSP Akmal memeriksa tatu pada badan seorang lelaki yang menyertai sambutan hari lahir tersebut.

“Dalam masa sama, kita turut memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat dilakukan,” kata beliau. – MalaysiaGazette