Suami kepada arwah Siti Sarah Raissuddin, Shahmira Muhamad yang dikenali Shuib hadir di perkarangan bilik mayat susulan isterinya yang meninggal akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pelawak, Shuib reda dengan pemergian isterinya, Siti Sarah Raisuddin awal pagi ini akibat Covid-19.

Namun Shuib atau nama penuhnya, Shahmira Muhamad berkata, cabarannya selepas ini adalah untuk memaklumkan perkara itu kepada anak-anaknya mengenai ‘ketiadaan’ ibu mereka.

Tambahnya, dia bersama anak-anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama arwah yang nazak di hospital malam tadi.

“Saya membuat panggilan video untuk anak melihat keadaan ibu mereka dengan bantuan jururawat dan doktor. Masa itu saya nampak air mata berlinangan di pipi Siti Sarah seolah-olah memahami apa yang saya dan anak bersembang mengenainya.

“Selepas itu apabila anak-anak sudah tidur, saya sempat ke hospital malam tadi sejurus selepas selesai sesi bacaan Yassin dan doa dianjurkan menerusi aplikasi Zoom Meeting.

“Bagaimanapun saya tidak dibenarkan bertemu dengannya dan saya berpatah balik ke rumah,” katanya ketika ditemui kaunter Bilik Jenazah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) hari ini.

Shuib menambah, arwah isterinya ditayamun dan disolat jenazah di hospital tersebut pagi ini.

Menurut jangkaan, jenazah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, pukul 12 tengah hari ini.

“Dia ada buat permintaan untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.

Shuib juga berjanji akan menjaga empat cahaya mata perkongsian hidupnya dengan arwah dengan baik.

“Arwah sempat hadiahkan saya dengan kehadiran Ayash Affan yang dilahirkanpada Jumaat lalu. Arwah terpaksa bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Namun, Allah lebih menyayanginya.

“Nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza,” katanya.

Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital berkenaan akibat pandemik Covid-19, pukul 5.13 pagi ini.

Pemergian penyanyi lagu Semakin itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ‘ditidurkan’.

Siti Sarah terpaksa ‘ditidurkan’ dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar pukul 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada hari yang sama, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.

Selain Siti Sarah dan Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari. – MalaysiaGazette

ARTiKEL BERKAITAN:

Siti Sarah meninggal dunia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast