Tengku Azlan Sultan Abu Bakar menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Wan Rosdy Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Temerloh, berkuatkuasa serta-merta.

Dalam sidang media di sini, beliau mengumumkan untuk kembali ke pangkuan parti UMNO.

“Saya telah membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan parti UMNO yang begitu lama saya sertai sebelum ini kerana saya yakin dan percaya parti UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam,” katanya di sini.

Surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada Setiausaha Agong PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pada masa sama, beliau menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Menteri Besar Pahang.

Dalam ucapannya, Tengku Azlan berkata, beliau menyokong penuh pendirian Wan Rosdy berhubung isu Perlembagaan baru-baru ini, yang mana telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempertahankan Perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.

“Kita seharusnya mendukung demokrasi berparlimen dan juga Raja Berpelembagaan berdasarkan yang telah termaktub dalam rukun negara.

”Sesungguhnya Perlembagaan negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast