Selain kelonggaran boleh dine-in, bilangan penumpang kenderaan tidak lagi dihadkan kepada dua individu sahaja kepada penduduk negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Orang ramai yang telah lengkap dos vaksin Covid-19 disaran menyediakan tangkap layar sijil digital MySejahtera dalam telefon bimbit masing-masing bagi melancarkan perjalanan serta pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) sekitar Pulau Pinang.

Saranan itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh susulan pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Fisol berkata, tangkap layar sijil itu hendaklah ditunjukkan kepada pegawai atau anggota polis di SJR ketika mereka mahu merentas daerah seperti dibenarkan mulai esok.

“Kelonggaran SOP termasuk rentas daerah serta dine-in diberikan kepada mereka selepas dua minggu berjaya melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.

“Bagaimanapun, rentas negeri masih belum dibenarkan kecuali bagi beberapa syarat tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fisol menegaskan, pemilik atau pengusaha premis makanan hendaklah memastikan pelanggan yang telah melepasi tempoh dua minggu daripada tempoh penerimaan dos kedua vaksin saja dibenarkan dine-in di premis mereka.

“Pemilik premis juga perlu memastikan bilangan pelanggan di satu meja hanyalah 50 peratus daripada keluasan dan memastikan susun atur meja mengikut penjarakan serta sistem pengudaraan di dalam kedai adalah baik.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang melalui ketua-ketua polis daerah telah diarahkan untuk melaksanakan pemantauan ke atas semua premis bagi memastikan semua SOP ketat yang ditetapkan dipatuhi semua orang.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 diputuskan sekali gus semua objektif pelan pemulihan negara dicapai,” jelas Fisol. – MalaysiaGazette