ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Dua lagi pemimpin pembangkang telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini, untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Mereka adalah Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datin Dr. Tan Yee Kew.

Kedua-dua pemimpin itu difahamkan hadir ke IPD berkenaan antara jam 11 pagi hingga 1.05 tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi telah mengesahkan pihaknya sudah selesai mengambil keterangan kedua-dua individu tersebut hari ini.

Semalam, 17 wakil rakyat telah selesai dirakam keterangan di IPD Dang Wangi dan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya berhubung perhimpunan berkenaan.

Mereka yang diambil keterangan pada sesi pagi di IPD Dang Wangi adalah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Pada sesi petang pula, enam lagi individu iaitu Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Alor Star Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Merbuk Nor Azrina Surip dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi.

Mereka tiba secara berasingan di IPD Dang Wangi antara jam 10.20 pagi hingga 11.30 pagi bagi sesi pagi dan 12.10 tengah hari hingga 4 petang untuk sesi petang.

Dua lagi individu iaitu Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun pula diambil keterangan oleh pihak polis di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya jam 2.30 petang.

Pada 2 Ogos lalu, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Dr Mahathir; Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal masuk ke Parlimen.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata,  sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan berkenaan.

Katanya, polis telah membuka satu kertas siasatan bagi laporan yang diterima dan akan memanggil individu terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574).-MalaysiaGazette