Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan sukar membuka semula ekonomi sepenuhnya pada bulan Oktober ini kerana angka jangkitan dan kematian akibat Covid-19 masih kekal tinggi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jangkaan itu mengambil kira jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu sebanyak 10,961 kes dan jangkitan 1,279,776.

Katanya, jika sektor ekonomi tidak dibuka, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang berjumlah hampir sejuta, merangkumi 98.5% daripada perniagaan yang memberikan pekerjaan kepada 7.3 juta rakyat akan runtuh.

Oleh itu, Guan Eng berkata, kerajaan perlu mengambil langkah berani untuk memansuhkan faedah enam bulan moratorium automatik pinjaman bank automatik untuk semua peminjam (kecuali Kumpulan 10 Teratas), termasuk perniagaan dan bukan hanya individu.

Katanya, sektor perniagaan perlu diberi RM30 bilion dalam bentuk geran, insentif kewangan, subsidi upah, sewa dan utiliti dan bukannya pinjaman dan jaminan, untuk menyelamatkan pekerjaan dan melambatkan penutupan perniagaan.

“Kerajaan PN perlu menebus diri mereka sendiri atas salah satu kegagalan terbesar mereka dalam mengabaikan kemusnahan nyawa dan mata pencarian semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh sahaja sementara menunggu bulan September dan perlu bertindak sekarang untuk membantu perniagaan dan pekerjaan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Tegasnya, sektor industri dan pekerjaan tidak mempunyai masa dan kesabaran yang banyak sebelum mengalihkan pelaburan ke tempat lain atau menutup perniagaan mereka.

Menurutnya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PKS telah mengalami kerugian yang terbesar sebanyak RM40.7 bilion tahun lalu akibat daripada perintah lockdown yang ketat di seluruh negara yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani wabak virus.

Malah, Wan Junaidi mengingatkan kira-kira 580,000 perniagaan, yang mewakili 49% sektor PKS, berisiko gagal menjelang Oktober jika mereka masih tidak dibenarkan beroperasi pada bulan itu.

Selain itu, kata Guan Eng, Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman, dan Majlis Perniagaan Belanda Malaysia juga telah menulis surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung strategi pembendungan Covid-19 oleh kerajaan yang cacat, Perintah Kawalan Pergerakan yang dirancang dengan kurang baik, kurangnya pemahaman tentang keperluan industri dan rantaian bekalan global serta pelaksanaan yang tidak memuaskan atau ketidakcekapan semata-mata telah memberi risiko terhadap pelaburan perniagaan berjuta-juta dolar yang diwakili oleh pelabur asing ini. – MalaysiaGazette