Polis menunjukkan air ketum yang dirampas dalam kereta milik seorang lelaki ketika melakukan pemantauan kelonggaran SOP PPN di Jalan Zainal Abidin di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan sekumpulan lelaki cuba melarikan diri ketika pihak polis melakukan pemantauan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah gerai makanan di Jalan Zainal Abdin di sini, membongkarkan kegiatan penjualan air ketum.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Timur Laut yang diketuai Asisten Superintendan Yaakob Md Taib kira-kira jam 11.30 pagi itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 50-an yang juga tokan penjualan air ketum itu.

Suspek (dua,kiri) ditahan selepas gagal melarikan diri bersama sekumpulan lelaki di sebuah gerai di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihak polis memeriksa kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai milik suspek sebelum menemui 36 bungkus air ketum di bahagian but kenderaan itu.

“Kesemua air ketum itu disimpan di dalam bekas gabus (styrofoam) berwarna putih dan dipenuhi dengan ketulan ais batu bahagian atasnya bagi mengaburi mata pihak polis.

Air ketum itu disorok dalam but kereta jenis Proton Iswara.

“Siasatan awal mendapati, suspek aktif menjual air ketum itu sejak sebulan lalu kepada penduduk sekitar George Town dengan kadar RM5 sebungkus,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1956.

Warga asing antara yang didapati berkumpul di gerai tersebut.

Mengulas mengenai, pemantauan kelonggaran SOP PPN, Soffian menegaskan rata-rata peniaga di sekitar pusat bandar masih belum menyediakan aktiviti dine-in.

Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya ke atas 12 restoran serta gerai makan di sini mendapati masing-masing hanya membenarkan pelanggan membuat pembelian secara bungkus dan pulang susulan belum mendapat arahan daripada pihak pengurusan untuk dine-in.

Kebanyakan restoran makanan belum menyediakan aktiviti dine-in kepada pelanggan.

“Bagaimanpun, pemeriksaan di beberapa gerai mendapati ada lima pelanggan yang tidak patuh syarat dine-in iaitu tidak melepasi 14 hari selepas menerima vaksin lengkap.

“Ada antara mereka memberi alasan bahawa sudah menerima dua dos namun pemeriksaan sijil digital MySejahtera mendapati belum melepasi tempoh 14 hari.

“Tiada kompaun dikeluarkan hari ini dan kita diberi nasihat serta amaran memandangkan SOP ini baharu ditetapkan,” tegas Soffian.

Pelanggan yang tidak lengkap dos vaksin Covid-19 diberi amaran supaya tidak dine-in lagi.

Dalam perkembangan lain, Soffian memberitahu setakat jam 4 petang hari ini, sebanyak 50 individu yang lengkap dos vaksin memasuki bahagian pulau menerusi Jambatan Pulau Pinang.

“Masing-masing mereka menunjukkan sijil digital melalui telefon pintar.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 walaupun beberapa syarat telah dilonggarkan,” kata Soffian. – MalaysiaGazette