Exco Generasi Muda Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman melihat proses vaksinasi pada Program Vaksinasi Atlet dan Pengusaha Industri Sukan Selangor di Hotel De Palma Shah Alam, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 OGOS 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor mensasarkan kira-kira 8,000 atlet dan pemain industri sukan di negeri itu akan menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 selewat-lewatnya September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri menyediakan 1,000 kuota vaksin untuk fasa satu yang bermula hari ini.

Katanya, jumlah kuota itu akan dibahagikan, yang mana 500 daripadanya diberikan kepada atlet dan jurulatih di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) manakala, separuh lagi di kepada pengusaha industri sukan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Selangor (JBS Selangor).

“Selangor merupakan negeri pertama yang memberi jumlah khusus vaksin kepada mereka di dalam industri sukan di bawah platform SELangkah.

“Kita juga ingin menjadi negeri pertama yang membuka aktiviti sukan kepada semua.

“Jadi bagi rakyat, kalau nak tengok bola, kalau nak buat aktiviti sukan kita kena lengkap dua dos… kita tiada pilihan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Atlet dan Pengusaha Sukan Selangor di Hotel De Palma di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan negeri sedar bahawa usaha itu dapat membantu hasrat bagi membentuk imuniti kelompok dalam kalangan penggiat sukan sekaligus dapat membuka semula aktiviti berkenaan di negeri ini.

Katanya, disebabkan kepentingan tersebut, kerajaan negeri berusaha sedayanya untuk meningkatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Selangor termasuk mereka yang bergiat dalam lapangan berkenaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menambah lagi pemberian vaksin kepada beberapa fasa lagi dengan melihat keberkesanan pemberiannya menerusi fasa satu ini.

Difahamkan, suntikan yang diberikan itu merupakan vaksin yang dibeli oleh kerajaan negeri menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX).

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri memperuntuk lebih RM200 juta bagi membeli vaksin Covid-19.

Sementara itu, Pengurus Kelab Golf Glenmarie & Country Resort, Nor Afendi Mohd Razlan berkata, pemain industri sukan sememangnya berterima kasih terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor itu.

Dengan adanya projek seperti ini kata beliau, ia mampu memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat dalam bidang berkenaan untuk beroperasi semula selepas ini.

“Saya amat menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan Selangor ini dan contoh seperti ini boleh lah diikuti oleh negeri-negeri lain,” katanya.

Seorang lagi, Pengarah syarikat Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hong berkata, arena pemotoran boleh dibuka semula selepas ini dengan adanya usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor itu.

Ujarnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri pemotoran agak sepi dan ada dalam kalangan pengusaha indutsri itu hampir gulung tikar.

“Saya berharap usaha ini akan dapat memberi sinar kepada industri pemotoran yang sememangnya mempunyai ramai peminat namun, ianya terganggu akibat pandemik yang masih belum berkesudahan,” katanya. – MalaysiaGazette