Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seramai 18 individu warga tempatan serta warga asing yang leka berhibur parti liar berbekalkan dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Kepong pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua mereka dicekup dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSIND) Sentul kira-kira jam 1 pagi.

“Antara ditahan 11 lelaki dan tiga wanita tempatan, empat wanita warga asing berumur di antara 19 tahun hingga 42 tahun ketika sedang mengadakan parti liar.

“Semasa serbuan dibuat, pihak polis mendapati bunyi muzik yang kuat sedang dimainkan dan kesemua suspek sedang minum minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, salah seorang daripada suspek lelaki merupakan  penganjur parti liar tersebut.

“Suspek mengadakan promosi parti liar melalui aplikasi ‘Wechat’ dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM150 bagi sewaan setiap bilik bagi tempoh tiga jam.

“Suspek juga didapati mula menjalankan aktiviti ini pada awal Ogos 2021,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas unit kondominium tersebut menemukan satu paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDM seberat 27.50 gram.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati seramai 12 suspek positif dadah amphetamine, methamphetamine dan ketamin, manakala enam suspek lagi negatif dadah.

“Kes disiasat di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua saspek turut dikompaun di bawah Peraturan 17.

Kesemua mereka juga telah disiasat dan dikenakan kompaun berjumlah RM72,000 iaitu RM4,000 setiap seorang.

Ini kerana perlanggaran SOP di bawah Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan jangkitan) (PPN) 2021 atas kesalahan mengadakan aktiviti sosial berkumpul beramai-ramai,” tegas beliau.-MalaysiaGazette